Kebiasaannya di kalangan mereka yang tahu dan mengenali Haji Zain bin Abdul Rahman menyebut atau merujuk nama beliau sebagai Pak Aji atau Pak Haji Zain.
Nama sebenar beliau ialah Zain bin Abdul Rahman (No. K/P: 3200238) dilahirkan pada tahun 1901 di Kampung Changkat Keledang, Nibol Tebal, Seberang Prai Selatan. Ibunya merupakan anak tempatan kampung ini bernama Saoyah manakala ayah beliau dipercayai berasal dari Tanah Jawa Indonesia. Ayah Pak Haji Zain meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Ibunya mempunyai seorang adik bernama “Jam”. Mereka berdua merupakan bidan kampung. Pasangan Abdul Rahman dan Saoyah dikurniakan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung bernama Siti Fatimah dan Pak Haji Zain sendiri.
Kampung Changkat
Pada masa ini Kampung Changkat Keledang lebih senang dipanggil dengan nama singkatnya sahaja iaitu Kampung Changkat. Kampung ini adalah perkampungan Melayu yang berjiran dengan kampung orang-orang Cina. Jalan masuk ke Changkat adalah melalui Pekan Nibong Tebal atau persimpangan Simpang Empat Jawi. Umumnya orang-orang Melayu di kampung ini dan sekitarnya seperti Kampung Sg. Acheh, Kampung Kedah (dalam daerah Kerian) sehinggalah ke Kota Sarang Semut, Kedah adalah berketurunan Melayu Patani. Nenek moyang mereka telah berhijrah ke sini kesan dari peperangan antara orang-orang Melayu dengan Siam pada tahun-tahun sebelum 1839. Dalam peperangan tersebut Kampung Changkat telah menjadi tempat persembunyian seorang panglima bernama Panglima Badaruddin yang terlibat mempertahankan negeri Kedah.
Asal nama kampung ini bermula apabila Panglima Badaruddin dengan pasukannya yang menaiki tongkang bermudik masuk ke pedalaman melalui jalan laut dari Kuala Kedah. Malangnya tongkang mereka tersangkut akibat air sungai yang cangkat (cetek), lalu mereka mengambil keputusan untuk berhenti di situ dan mengambil kedudukan di bukit berdekatan untuk bersembunyi. Bersempena dengan peristiwa itulah mereka namakan tempat itu sebagai Changkat setelah dihambat oleh tentera Siam dalam peperangan Melayu-Siam (perang ‘Musuh Bisik’ 1815 - 1839). Bukit tempat persembunyian Panglima Badaruddin juga dinamakan Bukit Changkat. Bukit ini terletak tidak jauh di belakang tapak rumah kelahiran Pak Haji Zain iaitu kira-kira 500 meter sahaja. Panglima Badaruddin kemudiannya telah memilih satu tapak yang sesuai untuk mendirikan rumah beliau. Beliau membina rumahnya dengan menjadikan senjata-senjata yang dibawa bersama sebagai dinding-dinding rumah.
Selain dari kisah Panglima Badaruddin, kampung ini juga terkenal dengan seorang tokoh agama yang bernama Haji Said. Haji Said ialah orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan masjid yang pertama di kampung ini. Tapak masjid tersebut masih kekal digunakan sehingga ke hari ini walaupun telah berlaku beberapa pindaan dan pembesaran pada masjid tersebut. Beliau juga merupakan ketua kampung dan imam masjid yang pertama di kampung ini. Haji Said atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Wali Said’ adalah seorang yang tekun dalam menyebarkan syariat Islam sehinggakan beliau sempat menghasilkan sebuah Al-Quran tulisan tangannya sendiri. Naskhah Al-Quran yang sudah berusia lebih dari seratus tahun ini masih lagi tersimpan di Masjid Changkat yang terbina hasil usaha beliau bersama penduduk kampung ini.
Zaman Remaja
Sejak lahir Pak Haji Zain dan kakaknya Siti Fatimah tinggal bersama dengan kedua ibu bapanya di kampung ibunya iaitu Changkat Keledang. Setelah ayah Pak Haji Zain meninggal dunia beliau telah dihantar oleh ibunya untuk berguru dengan bapa saudaranya, seorang tokoh agama iaitu Tuan Haji Mohd Saaid bin Omar. Turut sama berguru dengan Haji Mohd Saaid Omar ketika itu ialah Haji Osman bin Haji Muhammad, sepupu kepada Pak Haji Zain. Mereka berdua tinggal sebumbung dengan Tuan Haji Mohd Saaid dan dilayan bagaikan anak sendiri. Bermula dari sinilah beliau menetap dengan guru beliau di Kancut, Alor Setar sehingga beliau fasih berbahasa Arab dan kemudianya dihantar ke Mekah sekitar tahun 1914. Hanya Pak Haji Zain dan Haji Osman sahaja yang dihantar belajar ke Mekah oleh Tuan Haji Mohd Saaid pada ketika itu dan beliau tidak pula menghantar anak-anak murid yang lain.
Guru-Gurunya
Guru-guru beliau setakat yang diketahui ialah Tuan Haji Mohd Saaid bin Omar (Khatib) bin Aminuddin bin Abd Karim yang merupakan anak jati negeri Kedah. Beliau dilahirkan pada tahun 1854 bersamaan 1275 Hijrah di Kampong Kuar, Jerlun. Pada peringkat awal penglibatannya sebagai guru pondok beliau telah banyak menjelajah dan menetap di beberapa tempat termasuk membuka pondok di Changkat, Nibong Tebal (kampung keluarga Pak Haji Zain), Sungai Acheh dan Kampung Kedah, Perak. Tuan Haji Mohd Saaid kemudiannya telah diminta pulang ke Kedah oleh Tunku Mahmud untuk menjadi Guru DiRaja mengajar agama kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1881-1943) dan anak-anak kerabat raja yang lain. Jawatan terakhir yang disandang beliau sebelum meninggal dunia ialah Qadi di Jitra, Kedah. Beliau kemudiannya terkenal di mata umum dengan gelaran Haji Saaid Qadi Jitra. Tuan Haji Mohd Saaid telah menghembuskan nafas yang terakhir pada 9 Mac 1932 bersamaan 22 Zulkaedah 1350. Semasa hidupnya beliau telah menghasilkan berberapa buah kitab termasuk kitab Tafsir Nurul Ihsan iaitu sebuah kitab tafsir Al-Quran tiga puluh juzuk bertulisan Jawi.10 Kitab tafsir ini adalah yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu dikarang oleh beliau di dalam bahasa Melayu bertulisan jawi. Pak Haji Zain berguru dengan Tuan Haji Mohd Saaid selama kira-kira 8 tahun dalam pelbagai bidang ilmu agama terutamanya Bahasa Arab, Ilmu Tafsir serta Ilmu Tauhid. Beliau juga mendapat pendedahan awal mengenai Ilmu Hakikat dan Makrifat yang terkandung dalam kitab ‘Hikam’ karangan Ibn Atha’illah Al-Iskandariah dari Tuan Haji Saaid sediri. Adalah dipercayai bahawa inilah satu-satunya kitab yang sangat mantap ajaran tauhidnya, sehingga tampak benar bahawa terkandung di dalamnya ilmu Laduni dan rahsia Quddus.
Semasa berada di Mekah Pak Haji Zain telah berguru dengan beberapa orang guru.....
[akan bersambung]