Pada tanggal 22hb Julai 1935 bersamaan 20hb Rabiul Akhir 1354 hari Isnin, di sebuah rumah kayu beratapkan nipah yang terletak di pinggir sawah bendang, di kampung (Batu 9) dalam mukim Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai, seorang ibu bernama Patimah binti Mat Udin yang masih muda, telah melahirkan seorang bayi lelaki dengan penuh kasih sayang.Inilah anak pertama lelaki yang dilahirkan setelah lama menimang dua orang anak perempuan oleh Patimah dan suaminya Itam bin Saad dan tanpa diketahui mereka bahawa anak lelaki yang mereka kasih itu bakal menjadi seorang tokoh yang hebat di satu hari nanti, seorang wira, seorang hulubalang yang bakal disanjungi, dihormati dan dimuliakan oleh puluhan ribu anak-anak Melayu di negeri tumpah tanah airnya sendiri. Anak itu diberi namakan Ishak, nama pada seorang insan yang akhirnya menjadi seorang pemimpin agung pada usia 51 tahun. Itulah kebenaran yang tertera pada kehidupan Hj Ishak bin Itam yang kadangkalanya gemar dimesrakan dengan panggilan Pak Ak sahaja.
Ibu Ishak ini, iaitu Patimah binti Mat Udin sebenarnya berasal dari sebuah kampung bernama Teluk Gulang, Kedah, tetapi kini tempat tersebut telah pun maju mengikut peredaran zaman pembangunan dan di kenali pula sebagai Bandar Simpang Empat Kangkung, terletak kira-kira 4 km di selatan dari pusat bandar Alor Setar, Kedah, dan ayah beliau pula berasal dari Yan, iaitu sebuah daerah yang hampir dengan persisiran pantai di dalam negeri Kedah juga.
Setelah Patimah berkahwin dengan Itam, walaupun telah mendirikan rumahtangga mereka masih menetap bersama ayah Patimah iaitu Mat Udin di kampung Teluk Gulang, namun kesukaran mencari nafkah hidup di kampung tersebut telah memaksa Mat Udin membuat keputusan untuk berpindah ke kawasan baru dan memilih Tanah Liat sebagai tempat untuk berkampung bersama anak-anak dan menantunya. Pada masa keluarga Mat Udin berpindah ke Bukit Mertajam Haji Ishak bin Itam masih belum di lahirkan.
Asal-Usul Keturunan
Haji Ishak mempunyai titisan benih jalinan ulama melalui keturunan ayah beliau, Itam bin Saad yang merupakan seorang Hafiz Al-Quran, manakala Tok Mohsin ayah kepada Saad adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Indonesia dan telah dilahirkan dalam keluarga para ulama terbilang.
Ibu beliau pula berketurunan Melayu dari Setui melalui talian darah dengan Tok Jusof iaitu bapa kepada Tok Sopiah yang telah melahirkan Patimah, ibu kepada Haji Ishak bin Itam. Bapa kepada ibu beliau pula iaitu Mat Udin ialah anak seorang panglima istana kerajaan negeri Perlis yang digelar Panglima Taha. Kisah telah dikhabarkan melalui cerita dari nenek moyang bahawasanya Panglima Taha turut mempertahankan bumi Kedah semasa peperangan menentang siam pada zaman dahulu. Panglima Taha mahir dalam ilmu persilatan Gayung Patani dan turut dikhabarkan bahawa Panglima Taha merupakan seorang panglima sezaman dengan Panglima kanan negeri Kedah iaitu Panglima Ismail.
Salasilah Haji Ishak tidak dapat dikesan lebih jauh memandangkan catatan bertulis tidak pernah dibuat oleh kaum keluarga yang terdahulu, namun apa yang dapat dicatatkan hanyalah ikatan keturunan di sebelah bapa, bermula dari Tok Mohsin ke bawah dan di sebelah ibu bermula dari Tok Jusof ke bawah.
Ikatan keturunan melalui Tok Mohsin:
Tok Mohsin tidak diketahui nama ayahnya, tidak diketahui berapa adik-beradik dan tidak diketahui juga nama isterinya, setakat yang dapat dikesan hanya Saad anaknya.
Saad bin Tok Mohsin, tidak dapat dikesan nama isterinya namun anak-anaknya telah diceritakan seperti berikut:
1. Dahman - (meninggal di Kedah)
2. Itam - (ayah kepada Haji Ishak bin Itam)
3. Mah - (meninggal dalam kandungan)
Itam bin Saad dan isterinya Patimah bt Mat Udin mempunyai 5 orang cahaya mata termasuklah Hj Ishak;
1. Aishah - (meninggal)
2. Zaleha
3. Ishak - (Hj Ishak bin Itam)
4. Haji Mat
5. Zainab
akan bersambung dari masa ke semasa ...